Selamat datang di CaraGampang.Com

Selasa, 15 Januari 2013

Pemandu Sosilawati Dibunuh Atas Arahan Pathmanabhan!!!


SHAH ALAM - Tertuduh keempat kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa N. Pathmanabhan mengarahkannya memegang pemandu jutawan kosmetik itu dari arah belakang selepas diberitahu lelaki itu hendak memukul bekas peguam tersebut.

R. Kathavarayan, 32, berkata, tindakannya memegang pemandu Sosilawati menyebabkan mereka bergelut sehingga terjatuh atas kerusi dalam sebuah bilik karaoke di Ladang Gadong.

"Kemudian, tangan pemandu itu telah diikat guna tali pinggang sebelum dia disuruh duduk dan dipukul kira-kira tiga kali," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Hasshahari Johari Mawi, yang dilantik mahkamah bagi menggantikan peguam Ravi Nekoo, yang telah menarik diri daripada mewakilinya.

Kathavarayan, 32, diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. 

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Kathavarayan berkata Pathmanabhan bersama sembilan individu termasuk Sosilawati, pemandunya, seorang peguam dan seorang pengurus bank datang ke ladang pada kira-kira 7 petang, 30 Ogos 2010, menaiki tiga kereta dan merekakemudian mengadakan perbincangan di sebuah bilik karaoke yang terletak di ladang berkenaan.

"Kira-kira setengah jam kemudian, saya dengar bunyi jeritan dan bunyi seperti berlaku pergaduhan. Bila saya buka pintu bilik itu, saya dapati pemandu Sosilawati sedang pegang gelas di tangannya dan sedang bergaduh dengan Pathmanabhan," katanya.

Kathavarayan berkata, selepas diikat dan dipukul, pemandu Sosilawati kemudian dibawa ke sebuah kawasan berhampiran bilik karaoke sebelum dia diarah duduk berlutut dan dipukul lagi dalam tempoh masa lama.

Tertuduh keempat berkata dia kemudian mendengar Pathmanabhan mengarahkan Thilaiyalagan untuk 'menghabiskan' pemandu itu dan ketika ditanya Hasshahari apa maksud 'menghabiskan', Kathavarayan menjawab "bunuh."

"Daripada siapa arahan dikeluarkan," soal Hasshahari.

"Pada mulanya, Pathmanabhan bercakap-cakap dengan Sosilawati dan saya nampak Sosilawati ada beritahu sesuatu pada Pathmanabhan, dan kemudian Pathmanabhan telah suruh Thilaiyalagan habiskan," katanya.

Kathavarayan berkata, Pathmanabhan kemudian berbincang berhubung arahan untuk 'habiskan' pemandu Sosilawati dengan seorang lelaki yang datang bersama lapan individu lain ke ladang berkenaan sebelum peguam itu menghampiri dan memarahi mereka.

"Dia (peguam) cakap kenapa nak bunuh dia (pemandu), kalau nak, pukul sahajalah atau serah pada polis. Peguam itu seterusnya bergaduh dengan Pathmanabhan. Thilaiyalagan kemudian telah pukul peguam itu kerana telah bercakap kasar dengan Pathmanabhan, dan Pathmanabhan beri arahan untuk ikat peguam lelaki itu.

"Pathmanabhan kemudian suruh peguam itu buat panggilan ke rumahnya, dan beritahu dia tidak akan pulang ke rumah selama tiga hari. Peguam itu hubungi rumahnya seperti disuruh dan beritahu supaya jaga anak-anaknya," katanya.

Tertuduh berkata, peguam itu kemudian dibawa ke satu kawasan di ladang di mana Pathmanabhan sekali lagi mengarahkan Thilaiyalagan untuk 'menghabiskannya'.

Kathavarayan berkata, dia cuba menghalang Pathmanabhan daripada berbuat demikian ke atas peguam itu, tetapi Pathmanabhan meminta dia supaya tidak campur tangan dan meninggalkan kawasan tersebut.
"Saya kemudian dimaklumkan oleh Thilaiyalagan bahawa pemandu Sosilawati, peguam itu dan beberapa lelaki yang datang ke ladang telah dibawa ke ladang ketiga yang terletak selang satu ladang dari Ladang Gadong," katanya.

Tertuduh keempat berkata, pada keesokan harinya (31 Ogos 2010), Pathmanabhan memberitahu bahawa dia kesuntukan masa dan sekali lagi telah mengarahkan Thilaiyalagan supaya 'menghabiskan' pemandu Sosilawati dan peguam berkenaan. 

"Thilaiyalagan telah bawa pemandu Sosilawati ke kawasan berhampiran pintu kandang kambing dan tidak berapa lama kemudian Thilaiyalagan beritahu Pathmanabhan "selesai". Bila Thilaiyalagan cakap selesai, saya nampak pemandu itu terbaring," katanya.

"Sebelum dibawa ke sana, apa berlaku kepada pemandu itu," soal Hasshahari.

"Dia tidak pakai baju dan tangannya diikat. Ketika saya nampak Thilaiyalagan dan Matan angkat pemandu itu, saya cuma nampak badannya basah, rambut pun basah dan tiada sebarang pergerakan," katanya. 

Kathavarayan berkata, dia kemudian melihat Thilaiyalagan memasukkan kepala peguam berkenaan ke dalam takungan air yang dibina sendiri di ladang itu, dan disebabkan tidak sampai hati melihat kejadian tersebut, dia telah balik ke rumahnya.

Tertuduh keempat berkata, dia kemudian keluar ke pekan Banting, dan sebelum meninggalkan kawasan ladang, dia ternampak tiga lelaki terbaring di kawasan bersebelahan dengan longgokan kayu api yang telah disusun oleh Thilaiyalagan, Matan dan seorang lelaki India.

"Siapa yang awak nampak terbaring," soal Hasshahari.

"Yang saya ingat salah seorang ialah peguam, pemandu dan seorang lagi saya tidak tahu. Dari tempat saya berdiri, saya hanya boleh lihat tiga orang sahaja, saya tidak pasti kalau ada orang lain," katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Our Partners

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Support : Cara Gampang | Creating Website | Johny Template | Mas Templatea | Pusat Promosi
Copyright © 2011. Geng Anak Hantu - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by CaraGampang.Com
Proudly powered by Blogger